
Memperlihatkan kepada tambahan jumlah daftar pemilih, dianggarkan sejumlah 21.1 juta orang atau 21,113,234 orang dijangka akan menjadi pengundi baru di Pilihan Raya Umum Ke-15 (Berita Harian Ogos 2022). Kemudian, daripada jumlah itu, sebanyak 1,141,749 juta pengundi muda yang berumur sekitar 18 tahun hingga 20 tahun. Hal ini menjadikan jumlah pengundi sekitar umur tersebut merupakan 5.4% daripada pengundi baru. Manakala 19,971,485 juta pengundi baru atau bersamaan 94.6% merupakan berumur 21 tahun ke atas.
Ekoran daripada penguatkuasaan had umur pemilih daripada 21 tahun kepada 18 tahun, kita boleh menyaksikan pertambahan ketara pemilih sebanyak 5.8 juta orang di mana 1.2 juta orang adalah terdiri daripada golongan anak muda berusia 18 tahun hingga 20 tahun. Namun, perkara yang meruncingkan adalah berkenaan literasi dan celik politik dalam kalangan pengundi muda terutama bagi golongan undi18.

Kita boleh menyingkap kembali trend politik sewaktu PRN Johor, daripada jumlah keluar mengundi iaitu sebanyak 54.92%, KURANG daripada 5% pengundi muda yang keluar untuk mengundi pada hari pengundian. Baiklah, kenapa perkara sebegini boleh berlaku?
Prof. Dr Sivamurugan USM sewaktu mengulas kekurangan pengundi muda menyatakan bahawa anak muda melakukan protes terhadap politik negara dek merasakan sekiranya memberikan sokongan kepada mana-mana parti pun keadaan negara akan tetap sama. Perkara ini membawa kepada kebosanan pengundi muda terhadap retorik politik yang sentiasa berterusan oleh politikus. Akhirnya, pengundi muda merasakan bahawa ahli politik di atas hanyalah memikirkan untuk mengekalkan kuasa dan tidak menghiraukan tentang periuk nasi rakyat di bawah terutamanya golongan anak muda.
Bagi pengundi yang berumur 18 tahun hingga 20 tahun, majoriti yang menjadikan literasi dan celik politik mereka agak kurang membuatkan mereka muda untuk dipengaruhi oleh interaksi orang tua dan orang sekeliling. BESAR KEMUNGKINAN kalau kedua-dua golongan itu tidak keluar mengundi, mereka juga tidak akan keluar mengundi. Perkara seperti ini yang kita perlu elak supaya mereka boleh melihat pentingnya pangkahan di kertas undi itu sebenarnya mencorakkan masa depan dan dasar kehidupan mereka. MELAINKAN ada pihak yang mahu biarkan keadaan ini berterusan agar mereka akan tetap berkuasa.
Bicara sahaja tentang anak muda, mereka amat sinonim dengan isu kos sara hidup, perumahan, peluang pekerjaan dan pendidikan. Ditambah lagi dengan kewangan negara yang amat runcing, menjadikan pembangunan untuk aspek-aspek tersebut agak terbantut. Realiti kepada keadaan ini disembunyikan, namun untuk kekal berpengaruh, akhirnya memaksa pak menteri untuk menabur ‘gula-gula’ yang kononnya membantu anak muda.
Tabur janji, umum sana-sini macam kita negara kaya-raya, akhirnya tiada pun penyelesaian tuntas untuk atasi masalah yang mengelubungi anak muda. Usah bicara panjang, lihat saja negara-negara jiran mereka sudah jauh meninggalkan kita. Oleh itu, anak muda bijaklah menilai dan memilih pemimpin untuk mewakili suara kamu di peringkat atas.
P/S: saya cadangkan kalian baca ulasan berkenaan isu semasa dan isu kehidupan di FB Rafizi Ramli
‘Uzair Fadzli
Naib Ketua AMK Kepala Batas