Response Team MBSP Depoh Bertam Indah Terima Bantuan Makanan Ringan

KEPALA BATAS – susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berkuatkuasa, Zainuddin Bin Mohamed selaku Ahli Majlis MBSP yang diberi tanggungjawab untuk memberi fokus di Parlimen Kepala Batas tampil menyerahkan sumbangan makanan ringan kepada pasukan Response Team di Depoh Taman Bertam Indah Kepala Batas.

Zainuddin Bin Mohamed berkata bahawa sumbangan ini adalah untuk Response Team yang bertugas di waktu malam. Wira Oren yang bertugas pada syif malam tidak dapat membeli makanan bagi mengisi perut yang lapar selepas bertugas memandangkan waktu operasi premis makanan dan kedai serbaneka tamat pada jam 12.00 tengah malam.

Beliau juga berkata dalam keadaan musim hujan ini Response Team perlu membantu Jabatan Pengurusan Krisis MBSP sekiranya berlaku masalah pokok tumbang, banjir dan lain-lain masalah oleh itu mereka pasti lapar selepas tugas berat yang terpaksa dilalui akibat bencana.

Sebelum meninggalkan depoh Zainuddin Bin Mohamed sempat bertanyakan khabar Wira Oren selain memaklumkan kepada mereka untuk berkongsi sebarang masalah yang dihadapi tanpa perlu malu dan segan. Beliau juga meminta untuk dimaklumkan sekiranya terdapat Wira Oren yang terlibat dalam kemalangan jalanraya, ditimpa musibah dan lain-lain masalah agar bantuan untuk meringankan beban dapat disalurkan kepada yang berkenaan.

Hadir sama, Ahli Majlis MBSP, Anuar Bin Yusoff dan Encik Mohd Hafizi Bin Samsuari (Penolong Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBSP).

Scroll to Top