
Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tentang kesediaan Barisan Nasional (BN) yang sanggup meredah banjir dan hujan lebat sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini sebenarnya agak membimbangkan. Masakan tidak kenyataan yang dikeluarkan tersebut adalah presiden kepada parti pemerintah sendiri, maka sebarang kemungkinan terhadap pelaksanaan PRU15 boleh terjadi pada bila-bila masa agar mereka boleh kekal berkuasa.
Sebelum kita nak bicara tentang Pilihan Raya, adalah lebih baik untuk kita lihat terhadap ekonomi rakyat terlebih dahulu. Berdasarkan kepada Kadar Inflasi Malaysia pada bulan Ogos, Malaysia telah mencatatkan peningkatannya kepada 4.7 peratus berbanding 4.4 peratus pada bulan Julai 2022.
Selain itu, Indek Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi dalam negara telah menjangka kadar inflasi boleh melepasi paras lima peratus dalam tempoh terdekat disebabkan oleh harga makanan yang tinggi dan kesan asas yang rendah.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir, beliau menyatakan peningkatan inflasi adalah didorong oleh kenaikan harga dalam kumpulan pengangkutan (enam peratus) serta makanan dan minuman bukan alkohol (3.6 peratus). Oleh itu, isu ini yang dikira sinonim dengan kehidupan rakyat seharusnya mendapat satu penyelesaian tuntas agar tidak membebankan rakyat terutamanya golongan B40.
Walau bagaimanapun, inisiatif kerajaan yang mewujudkan Pasukan Khas Jihad untuk menangani masalah ekonomi dilihat gagal menjalankan fungsinya dengan baik berikutan kenaikan kadar inflasi dan harga barang yang berterusan. Maka, kita perlu memberi fokus untuk menyelesaikan masalah utama yang berakar dalam kehidupan rakyat berbanding berpolitik tiada hujungnya.
Di samping isu kenaikan harga barang, amaran daripada Jabatan Meteorologi Malaysia tentang kemungkinan banjir besar bakal berlaku pada hujung tahun ini harus mendapat perhatian khusus untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini.
Untuk pengetahuan umum, kos untuk mengadakan sesebuah Pilihan Raya Umum itu boleh mencecah sehingga RM2 bilion jika diadakan pada tahun ini. Keadaan ini diakui sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengatakan bahawa sekiranya berlaku pembubaran secara berasingan antara Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Di samping itu, hal ini juga boleh membantut proses pemulihan negara.
Alangkah baik sekiranya kos ini digunakan untuk membantu meningkatkan ekonomi rakyat dan membuat persediaan untuk menghadapi banjir berbanding menggunakannya untuk tujuan politik. Maka kerajaan seharusnya fokus kepada menyelamatkan nyawa rakyat, bukan mengadakan pilihanraya.
Rakyat tidak dambakan politik yang tiada henti, mereka hanya mahukan kehidupan yang lebih baik. Kemana lagi mereka ingin letakkan harapan sekiranya kerajaan sendiri sibuk untuk berpolitik semata-mata. Kerajaan ditubuhkan bukan untuk fokus adakan pilihan raya, tetapi untuk membela nasib rakyat terutamanya bagi golongan yang miskin dan tertindas.
Maka, habiskanlah penggal ini sehingga cukup tempohnya meskipun kerajaan yang ditubuhkan bukan daripada mandat rakyat. Rakyat sudah muak untuk digunakan dalam permainan politik, mereka mahu melihat apa yang kerajaan boleh tawarkan. Kamu gagal, kami humban di Pilihan Raya kelak!