Pemantauan SOP Bazar Ramadan Oleh Ahli Majlis MBSP

KEPALA BATAS – Ahli Majlis MBSP mengambil inisiatif memantau tahap pematuhan SOP di beberapa Bazar Ramadan sekitar Parlimen Kepala Batas. Diantara Pasar Ramadan yang dipantau adalah Pekan Penaga, Taman Permatang Sintok, Pekan Kepala Batas, Depan Masjid At-Taqwa, Bertam Perdana dan Bertam Putra.

Ahli Majlis MBSP, Zainuddin Mohamed berkata inisiatif ini diambil setelah beliau dimaklumkan tentang teguran yang diberikan oleh pihak polis terhadap Penganjur Bazar Ramadan Pekan Penaga dan Pekan Kepala Batas beberapa hari yang lalu. Beliau berkata tahap pematuhan SOP oleh penganjur dan pengunjung tidak boleh dipandang ringan kerana rakyat Malaysia masih belum menang di dalam usaha membedung dan memutuskan rantaian Covid-19.

“Hasil pemantauan mendapati hampir kesemua Bazar Ramadan di sekitar Kepala Batas tidak mematuhi SOP MKN sepenuhnya namun kawalan pergerakan pengunjung masih terkawal. Saya dapati pengunjung dan peniaga sentiasa memakai pelitup muka namun pematuhan penjarakan 1 meter masih perlu diberi perhatian. Selain itu diantara kegagalan pematuhan adalah dari segi kawalan kemasukan pelanggan yang terlalu ramai pada satu-satu masa, peniaga tidak memakai apron plastik (pakai buang), peniaga serta petugas tidak dibekalkan dengan pas khas dan kawalan laluan pengunjung yang masih perlu ditambah baik”.

“Saya turut berkongsi pandangan bagi mencari penyelesaian kepada beberapa masalah yang dihadapi oleh penganjur dalam usaha memperbaiki kawalan pergerakan pengunjung di Bazar Ramadan. Saya mendapati beberapa Bazar Ramadan mempamerkan papan tanda larangan memasuki Bazar bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun. SOP yang dikeluarkan oleh MKN tidak menyatakan bahawa kanak-kanak bawah 12 tahun dilarang masuk namun penganjur mengambil SOP Pasar Malam sebagai rujukan di mana kanak-kanak di bawak 12 tahun tidak digalakkan masuk. Walaubagaimanapun Bazar Ramadan Pekan Kepala Batas dan Bertam Putra kini tidak membenarkan kanak-kanak bawah 12 tahun memasuki Bazar Ramadan atas nasihat pihak polis. Penganjur dilihat kurang jelas dengan keputusan pihak polis yang tidak membenarkan kanak-kanak bawah 12 tahun memasuki kawasan bazar memandangkan kebanyakan bazar membenarkan. Saya akan membawa hal ini ke pengetahuan Datuk Bandar MBSP agar ia dapat dibincangkan dalam mesyuarat MKN Negeri.”

Ahli Majlis MBSP, Zanuddin Mohamed menegaskan bahawa pematuhan SOP bukan sahaja terletak kepada Penganjur tetapi juga kepada pengunjung dan meminta semua peniaga serta pengunjung memberikan kerjasama yang baik kepada pihak penganjur. Hadir sama Ahli Majlis Ooi Yong Wooi dan staf Jabatan Pelesenan MBSP.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top