
Beberapa hari yang lalu, AMK Malaysia yang diketuai oleh Akmal Nasir serta seluruh AMK Negeri telah membuat laporan polis berhubung dengan krisis integriti SPRM.
Sehubungan dengan itu, satu ‘Konvoi Selamatkan SPRM’ telah diadakan ke SPRM Putrajaya untuk menyampaikan bantahan tersebut.
Menurut Akmal Nasir selaku Ketua AMK Malaysia, bantahan tersebut adalah berkenaan dengan kontroversi pengakuan Tan Sri Azam Baki mengenai akaun CDS miliknya tetapi menggunakan wang adiknya untuk pembelian saham dan waran yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit.
AMK Malaysia mendesak kerana mengambil kira sikap Perdana Menteri yang tidak acuh dalam menangani krisis ini. Ekoran dari konvoi bantahan ini, pihak PDRM telah memanggil beberapa orang kepimpinan AMK Malaysia untuk hadir ke IPD Putrajaya pada Rabu 12 Januari 2022 untuk disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman.
Antara yang dipanggil ialah Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasir, saudara S. Thiban (Naib Ketua AMK), Syukri Razab (Setiausaha AMK) dan YB P. Prabakaran (Ketua AMK Wilayah Perseketuan, merangkap Ahli Parlimen Batu).
Akmal Nasir menjelaskan mereka akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis. AMK Malaysia mengambil pendirian untuk meneruskan desakan sehingga krisis integriti ini ditangani dengan lebih serius oleh pihak kerajaan.
Menurut Akmal Nasir lagi, AMK Malaysia akan menyerahkan ‘Memorandum Rakyat’ di hadapan Bangunan Parlimen ketika persidangan Khas Parlimen pada 20 Januari 2022 yang akan datang. Serahan memorandum tersebut adalah simbolik kepada kebimbangan rakyat terhadap salah satu badan kerajaan yang penting di Malaysia.
