Pasar Malam Alaf Baru di Bertam

Bertam – Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Zainuddin Mohamed menyambut baik Program Transformasi Pasar Malam di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Saya sekali lagi telah turun ke tapak pasar malam terpilih bersama-sama Jabatan Kejuruteraan dan Pelesenan MBSP termasuk wakil daripada KPKT.

“(Dan) perbincangan ketika itu lebih tertumpu ke arah persediaan bagi memastikan kelancaran pengurusan yang mana jika tiada sebarang halangan pasar malam di sini akan mula beroperasi pada 22 Januari nanti.

“Hebahan dan promosi berhubung perkara ini akan saya usahakan dalam waktu terdekat,” ujarnya melalui kenyataan media bertarikh 11 Januari 2022 selepas mengadakan lawatan tapak ke tapak pasar malam berdekatan Kolej Kejururawatan Bertam dekat sini.

Mengulas lanjut, Zainuddin memaklumkan bahawa pihaknya telah memberikan pandangan kepada wakil KPKT berhubung keperluan ruang solat dan tandas di sini.

“Maka, saya telah meminta Jabatan Kejuruteraan untuk mencari jalan menyediakan ruangan solat sementara bagi kemudahan penjaja.

“(Dan) saya telah meminta pihak kontraktor untuk menyediakan khemah perniagaan secepat mungkin.

“Saya juga meminta pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) selaku penganjur untuk membuat persediaan bagi pendaftaran rasmi penjaja dan edaran khemah perniagaan,” jelasnya.

Difahamkan, Program Transformasi Pasar Malam adalah bertujuan untuk memberi wajah baharu kepada peniaga-peniaga kecil dengan memperkenalkan amalan normal baharu bagi meningkatkan keyakinan pengunjung pasar malam.

Berdasarkan data yang diperoleh daripada KPKT, program yang merupakan projek rintis ini melibatkan tiga pasar malam terpilih di bahagian pulau dan Seberang Perai yang mana seramai 340 peniaga terkesan akibat COVID-19.

Selain amalan normal baharu dalam memastikan persekitaran yang selamat dan bebas dari COVID-19, antara elemen lain yang turut dinaik taraf adalah keseragaman, pengurusan pasar malam, sanitasi dan disinfeksi.

Artikel dan gambar dipertik daripada: Buleting Mutiara

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top