Operasi Lampu Isyarat di Jalan Bertam Indah Masih Dalam Tempoh Percubaan

KEPALA BATAS – Pemasangan Lampu Isyarat di Jalan Bertam Indah telah siap sepenuhnya. Lampu isyarat tersebut dilihat beroperasi pada hari Jumaat (4 Disember) dan kembali kuning berkelip-kelip hari ini. Beberapa hari yang lalu operasi lampu isyarat di Jalan Bertam indah menimbulkan keresahan dikalangan pengguna jalan raya terutamanya waktu orang ramai pulang dari kerja kerana laluan daripada Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir menuju ke Jalan Bertam Indah dilihat sedikit sesak disebabkan jarak antara lampu hijau ke merah dilaporkan terlalu singkat.

KK telah menghubungi Ahli Majlis MBSP, Zainuddin Bin Mohamed untuk mendapatkan sedikit maklumat berkenaan lampu isyarat yang kembali kuning berkelip-kelip selepas beroperasi pada hari Jumaat. Zainuddin Bin Mohamed berkata beliau turut mendapat aduan berkenaan lampu isyarat di Jalan Bertam Indah dan dengan segera menghubungi JKR untuk mendapatkan penjelasan agar operasi lamou isyarat yang baharu tidak membawa masalah kepada pengguna jalan raya.

“Lampu isyarat tersebut masih di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dalam proses penyerahan kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MBSP). Lampu tersebut secara fizikalnya telah siap sepenuhnya namun masih di dalam proses percubaan untuk mendapatkan data aliran trafik di keempat-empat fasa bagi penentuan masa perjalanan lampu isyarat kepada pengguna jalan raya. Untuk mengelakkan kesesakan dan salah faham saya telah meminta agar lampu isyarat tersebut ditangguhkan sementara operasinya sehingga satu tempoh masa perjalanan lampu isyarat yang sesuai ditetapkan. Saya juga telah meminta papan tanda lampu isyarat sedang diuji dipasang jika lampu kembali beroperasi untuk tujuan percubaan.”

“Operasi lampu isyarat ini adalah untuk memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya. Walaubagaimanapun sedikit masa diperlukan untuk JKR dan pihak kontraktor mendapatkan data aliran kenderaan di keempat-empat fasa sebelum satu penentuan masa lampu isyarat yang sesuai dapat ditetapkan. Kita semua sedia maklum bahawa sesi persekolah bakal bermula pada bulan Januari 2021 dan ia akan menyebabkan penambahan jumlah kenderaan pada awal pagi dan petang. Perubahan jumlah kenderaan pasti memerlukan data yang baharu untuk penentuan masa perjalanan yang lebih sesuai bagi kemudahan pengguna jalan raya.”

“Saya berharap pengguna jalan raya dapat bersabar dan memberikan kerjasama sepenuhnya sehingga penentuan masa yang sesuai ditetapkan. Kesulitan hari ini adalah untuk kesenangan di masa hadapan. Walaubagaimanapun jika terdapat sebarang masalah pengguna jalan raya atau komuniti setempat boleh membuat aduan terus kepada JKR. Aduan juga boleh dibuat melalui MBSP namun aduan tersebut akan tetap dipanjangkan kepada JKR untuk Tindakan.”

Scroll to Top