KEPALA BATAS – Beberapa hari lepas KK difahamkan penjaja tepi jalan di hadapan IKA HOUSEWARE, Jalan Permatang Bendahari, Penaga telah menerima notis oleh Penguatkuasa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di atas kesalahan menjaja di atas kotak parkir. Tindakan yang diambil oleh penguatkuasa mengundang perasaan kurang senang di kalangan netizen terutama penduduk sekitar Penaga. Hari ini Ahli Majlis MBSP, Zainuddin Mohamed turun sendiri ke lokasi untuk melihat masalah yang dihadapai oleh penjaja.

KK difahamkan notis yang dikeluarkan oleh penguatkusa MBSP adalah disebabkan oleh aduan awam. Zainuddin Mohamed berkata beliau telah dimaklumkan oleh Jabatan Pelesenan MBSP berkenaan masalah ini sebaik notis dikeluarkan. Perbincangan dalaman bagi membantu kesemua 10 penjaja yang berada di hadapam IKA WAREHOUSE itu telah diusahakan sehari selepas notis dikeluarkan. “Saya telah mencadangkan agar kesemua mereka dipindahkan ke tepi Caltex memandangkan laluan itu kini tidak digunakan untuk laluan kenderaan. Keluasan jalan tersebut mampu menampung kesemua mereka yang kini berada di hadapan IKA WAREHOUSE. Saya telah meminta Jabatan Perancang MBSP membuat semakan status jalan tersebut sebelum perbincangan lanjut bersama Jabatan Pelesenan MBSP diadakan”.

Zainuddin Mohamed berkata beliau telah menyatakan cadangan dan hasrat untuk memindahkan penjaja di kawasan tersebut kepada beberapa penjaja yang berada di lokasi ketika lawatan beliau. Cadangan itu disambut baik oleh penjaja dengan harapan mereka dapat terus berniaga demi mencari rezeki untuk keluarga. “Saya memahami kesukaran yang dihadapi oleh rakyat. Penjaja tepi jalan muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Diantara mereka adalah penjaja pasar malam yang tidak dapat berniaga di pasar malam sepanjang tempoh PKP 3.0 Fasa 1. Memandangkan banyak sektor dan jenis perniagaan tidak dapat beroperasi, ramai yang memilih untuk berniaga di tepi jalan bagi menampung perbelanjaan keluarga. Saya dan seluruh warga MBSP amat memahami akan masalah rakyat, malah isu berkaitan kebajikan penjaja tidak pernah berhenti dibincangkan. Walaubagaimanapun masyarakat serta netizen perlu memahami bahawa penjaja juga perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pelesenan. Peraturan ini bukan untuk menyusahkan kumpulan penjaja tetapi untuk menjaga hak dan kebajikan kesemua pihak selain faktor keselamatan dan kesesakan lalu lintas”.

“Saya telah memberikan nombor telefon saya kepada wakil penjaja untuk dihubungi sekiranya perlu. Saya akan cuba sebaik mungkin untuk membantu mereka yang terkesan terutama dalam keadaan pendamik yang berterusan ini. Terlalu ramai rakyat yang terjejas dan terputus pendapatan. Bersama kita berperanan bagi membantu kesemua yang terkesan. Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan penjaja pasar malam yang ingin berniaga di tepi jalan untuk memohon lesen penjaja kerana lesen pasar malam tidak boleh digunakan untuk mereka berniaga di tepi jalan. Mereka boleh menghubungi Jabatan Pelesenan MBSP untuk maklumat lanjut. Saya yakin Jabatan akan cuba membantu memberikan kelulusan sekiranya lokasi yang dimohon itu sesuai”. Zainuddin Mohamed meminta agar masyarakat untuk tidak mudah salah faham terhadap penguatkuasa yang bertugas. Mereka sekadar menjalankan tugas berlandaskan peraturan sedia ada dan tidak berniat untuk menyulitkan urusan sesiapa. Zainuddin Mohamed sekali lagi menyatakan komitmen untuk membantu mereka yang terjejas tetapi peraturan sedia ada tetap perlu dipatuhi tegas beliau.