
10 Februari 2022 | Khamis | 10.00 pagi
Persiaran Seksyen 5
PINANG TUNGGAL – Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Zainuddin Mohamed membuat lawatan tapak bagi membincangkan cadangan naik taraf padang awam di Persiaran Seksyen 5, Bandar Putra Bertam. Lawatan ini diselaraskan oleh Jabatan Landskap MBSP.
“Pada 19 November 2020 yang lalu, saya turun ke padang Persiaran Seksyen 5 ini untuk menyerahkan sumbangan tiang gol dan bola sepak. Saya mendapati keadaan padang tidak selesa untuk aktiviti bola sepak disebabkan padang yang sering becak selepas hujan dan diganggu oleh akar Pokok Khaya. Trek joging dan alatan permainan juga berada dalam keadaan tidak baik”.

“Melihat kepada keadaan padang yang kurang baik, saya telah berbincang dengan Pengarah Jabatan Landskap MBSP untuk menyediakan sedikit peruntukan untuk kerja-kerja naik taraf demi keselesaan penduduk”.
Menurut Ahli Majlis Zainuddin Mohamed cadangan naik taraf ini telah dipersetujui dan bakal dilaksanakan pada tahun ini. Masih terdapat beberapa proses yang perlu dilalui sebelum projek ini dimuktamadkan jelas beliau. “Berdasarkan kepada peruntukan kewangan yang disediakan untuk projek naik taraf ini, saya telah memberikan cadangan agar beberapa bahagian padang diberikan keutamaan untuk kerja-kerja baik pulih dan naiktaraf”, tambah beliau.

Mengulas lanjut, Zainuddin Mohamed memaklumkan bahawa cadangan kertas kerja naik taraf akan dibentangkan kepada beliau dalam tempoh dua minggu dari tarikh lawatan tapak dibuat. Sekiranya semua berjalan lancar proses seterusnya akan berjalan dan perlaksanaan kerja dijangka bermula pada suku keempat tahun ini.
“Saya terus komited membantu masyarakat dalam memastikan kemudahan awam yang disediakan kepada penduduk sentiasa berada pada tahap yang baik,” jelasnya.