KONSENSUS YANG DIKHIANATI FAHMI ZAINOL – PERMULAAN PERPECAHAN AMK PULAU PINANG YANG SERIUS

Saya selaku Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Bukit Gelugor dan juga mantan Ketua Penerangan AMK Negeri Pulau Pinang, Ahmad Fazley Bin Abdul Hafiz menggesa anggota KEADILAN khususnya sayap AMK menolak calon yang tidak menghormati Konsensus atau perjanjian yang telah dibuat bersama.

Umum mengetahui bahawa calon ketua AMK pusat , Sdr Fahmi Zainol adalah individu yang bertanggungjawab atas kegagalan dan perpecahan AMK di Pulau Pinang dengan mencalonkan namanya sendiri untuk menjadi ketua AMK Pulau Pinang selepas tewas dalam pemilihan Jawatan Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan pada pemilihan parti tahun 2018.

Pada satu sesi perjumpaan, calon-calon jawatankuasa AMK Pulau Pinang telah sepakat memilih Ketua AMK Kepala Batas, Sdr Zainuddin Mohamed untuk memimpin AMK Negeri Pulau Pinang dan ia dipersetujui bersama oleh Ketua AMK Pusat sdr Akmal Nasir ketika pertemuan di KOMTAR. Sdr Fahmi Zainol ketika itu memilih untuk bertanding sebagai Exco AMK dan bersetuju bahawa sdr Zainuddin diangkat sebagai Ketua AMK Pulau Pinang sekiranya sdr Akmal Nasir menang.

Selepas pemilihan parti sdr Fahmi Zainol tewas dalam pemilihan. Beliau telah menghubungi beberapa Ketua AMK untuk membuat undi tidak percaya terhadap Zainuddin Mohamed supaya diri beliau boleh menjadi ketua AMK Negeri pada waktu itu. Saya diantara individu yang dihubungi Fahmi untuk terlibat dalam pemilihan itu, seramai 5 wakil dijemput ke pejabat KEADILAN Negeri Pulau Pinang di Seberang Jaya untuk pemilihan kononya Zainuddin Mohamed tidak mempunyai sokongan di Pulau Pinang.

Saya menasihati beliau untuk memegang dahulu jawatan timbalan ketua AMK negeri pada waktu itu oleh kerana tidak mahu timbulnya perpecahan dalam kalangan AMK oleh kerana melanggar konsesus yang telah dibuat dan merasakan ia adalah satu pengkhianatan terhadap Zainuddin sekiranya pemilihan itu diadakan.

Fahmi, mengatakan bahawa beliau telah berbincang dengan Zainuddin untuk jawatan itu dan Zainuddin akan dilantik sebagai penasihat AMK negeri Pulau Pinang sekiranya beliau dipilih menjadi ketua AMK negeri. Dengan merasakan bahawa posisi itu telah dibincangkan maka saya bersetuju dengan Fahmi Zainol untuk memimpin AMK Negeri Pulau Pinang.

Selepas beliau dipilih saya terkejut dengan kenyataan Zainuddin bahawa beliau tidak tahu menahu tentang pemilihan sulit yang diadakan oleh Fahmi Zainol itu dan saya rasa bersalah dengan sertai pemilihan itu kerana percayakan beliau.

Sdr Fahmi sepatutnya belajar menghormati konsensus dan berani mengambil risiko terhadap keputusan yang telah dibuat. Tujuan Sdr Akmal Nasir hadir ke perjumpaan bersama calon-calon Ketua AMK pada waktu ketika itu adalah untuk memastikan tiada pergaduhan merebut posisi Ketua AMK Negeri selepas beliau diumumkan menang. Konsensus tersebut telah dicemari oleh sikap penting diri dan tamak beliau. Apa gunanya konsensus jika ia tidak dapat dipertahankan. Adakah pemimpin begitu menjadi pilihan anda?

Ayuh, kita selamatkan sayap pemuda demi masa depan AMK yang lebih baik. Anggota AMK perlu sedar tindakan yang beliau ambil demi memenuhi hajat memegang jawatan Ketua AMK Pulau Pinang adalah sangat tidak wajar. Ayuh bersama kita mengambil tanggungjawab menyelamatkan AMK.

AHMAD FAZLEY BIN ABDUL HAFIZ
MANTAN KETUA PENERANGAN
AMK NEGERI PULAU PINANG /
TIMBALAN KETUA AMK CABANG BUKIT GELUGOR

20 Mei 2022

#AyuhSelamatkanAMK

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top