Kenaikan Harga Barang Mendadak, Apakah Tindakan Kerajaan?

Seminggu yang lalu, kecoh di media tempatan tentang kenaikan harga barang keperluan dan makanan. Rakyat menjadi resah dan gusar apatah lagi di waktu pandemik Covid 19 yang masih belum kelihatan reda kemudian ditambah lagi dengan bala kenaikan harga barang, umpama melintas jalan dilanggar kereta. Parah!

Ramai yang tertanya-tanya, ke manakah perginya  Menteri KPDNHEP? Apa tindakan kementerian apabila kenaikan harga barang sangat meruncing, seperti sayur-sayuran, ayam, roti, alat ganti kenderaan, bahan binaan, air dan pelbagai barangan mentah lain. Itu belum lagi mengungkap kenaikan harga produk barangan yang sudah diproses.

Apa yang kita dengar cuma alasan daripada Menteri dan Kerajaan. Sampai 3 Kementerian yang membuat kajian? Kegilaan apakah ini? Perkara yang sama berulang-ulang setiap tahun, namun tiada satu pun mekanisma untuk membendung kenaikan harga yang terlampau atau teknik pengawalan harga agar rakyat tidak terbeban.

Penulis terkadang berfikir, bagaimanakah keadaan keluarga B40 yang kais pagi makan petang, kais petang makan besok paginya. Di manakah wacana ‘Keluarga Malaysia’ yang sering dilaungkan oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri?

Terdapat segelintir pihak yang menuding jari kepada ‘Orang Tengah’ yang menaikkan harga barangan. Adakah sampai sampai berlipat kali ganda kenaikan oleh orang tengah sehingga membebankan rakyat? Di mana peranan penguatkuasaan dalam hal ini?

Tidakkah Kerajaan ingin meneliti semula dan menetapkan harga siling untuk barang-barang keperluan harian rakyat Malaysia?

Negara kita beriklim tropika. Tanah kita tanah yang subur. Seharusnya harga barang-barang mentah ini tidak menjadi satu isu. Apatah lagi tanah yang luas untuk dijadikan tempat ternakan serta sayur-sayuran. Bercakap mengenai ternakan, suatu masa dahulu, Malaysia pernah mempunyai projek penternakan lembu bagi mengimbangi harga daging lembu tempatan, tapi entah ke mana lembunya sekarang.

Minyak masak juga turut terkena tempias di dalam kenaikan harga. Malaysia yang diketahui antara pengeksport terbesar minyak sawit dunia akan tetapi minyak sawit untuk rakyat melambung tinggi, di manakah silapnya?

Akhir kalam, penulis cuma tertanya-tanya, kenapa hanya setiap kali musim perayaan, baru diadakan penguatkuasaan? Bukankah ianya perlu dijalankan sepanjang tahun bagi memastikan rakyat sentiasa dapat menikmati hidup di muka bumi Malaysia yang tercinta ini. Semoga pihak Kerajaan dapat bertindak menangani masalah ini dengan segera.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top