KEADILAN Dan AMANAH Kepala Batas Buat Laporan Polis Terhadap Najib Razak

KEPALA BATAS, 19 Julai – Pimpinan Parti Keadilan Rakyat Cabang Kepala Batas dan AMANAH Kepala Batas tidak ketinggalan membuat laporan polis terhadap Bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah menyebabkan negara berhadapan dengan tuntutan RM67.5 bilion daripada waris kesultanan Sulu.

Naib Ketua Cabang Kepala Batas, Zainuddin Mohamed berkata beliau berasa terpanggil untuk turut tampil membuat laporan polis kerana merasakan isu berbangkit ini perlu disiasat dan ditangani dengan baik. Sebanyak tiga laporan polis secara berasingan telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD).

Zainuddin Mohamed (lima dari kiri) bersama pimpinan menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat mereka di IPD Seberang Perai Utara di Kepala Batas hari ini.

“Saya dan rakan-rakan pimpinan berharap agar pihak polis dapat mengambil keterangan Datuk Seri Najib Tun Razak dan menyiasat sekiranya wujud kecuaian dalam pentadbirannya dalam menguruskan hal ini ketika beliau menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri. Sekiranya isu ini tidak ditangani dengan baik saya bimbang generasi akan datang akan sekali lagi berdepan dengan tuntutan yang lebih kurang sama oleh waris kesultanan Sulu.”

“Tuntutan ini bermula ekoran keputusan Datuk Seri Najib menghentikan bayaran tahunan kepada waris kesultanan Sulu pada tahun 2013. Keputusan itu kemudiannya mencetuskan langkah balas waris kesultanan Sulu yang memulakan tindakan saman diperingkat antarabangsa terhadap Kerajaan Malaysia. Yang dipertikaikan bukan keputusan beliau menghentikan bayaran tetapi peranan beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu dalam menguruskan isu ini dengan baik bagi mengelakkan sebarang tindakan saman yang akhirnya merugikan rakyat dan negara.”

“Saya mendesak agar usul mengenai tuntutan waris Kesultanan Sulu ini diluluskan oleh Dewan Rakyat agar ia dapat dibincangkan dengan lebih lanjut. Rakyat berhak tahu apakah yang sedang berlaku dan apa tindakan balas kerajaan dalam menangani isu ini. Datuk Seri Najib dalam kenyataannya beberapa hari lepas menyalahkan Kerajaan Pakatan Harapan dalam isu ini. Saya berpandangan sikap menunding jadi ini tidak akan membawa kepada penyelesaian dan akan membuatkan rakyat bertambah keliru. Ruang terbaik ialah isu ini dibahaskan di Dewan Rakyat.”

Turut hadir ketika membuat laporan tersebut ialah Ketua AMANAH Kawasan Kepala Batas – Hj. Ramli Omar, Sdr Nasrul Hisyam Bokhari – Ketua Pemuda AMANAH Kepala Batas, dan Sdr ‘Adil Fitri Mat Aripin – Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Kepala Batas.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top