
KEPALA BATAS – Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Kepala Batas, Zainuddin Mohamed berkata Perasaan kecewa terhadap keputusan Tun M meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Kerajaan Pakatan Harapan masih segar diingatan. Keputusan drastik itu telah menyebabkan kerajaan yang dipilih rakyat jatuh dan seterusnya dirampas oleh tangan-tangan mereka yang rakus.
“Ketika Tun M mengemudi PPBM sering kita dengar isu-isu melibatkan Najib. Beliau dilihat begitu berminat tentang isu Najib. Amaran terbaru beliau kepada rakyat negeri Johor juga berkisar tentang Najib. Katanya jika Datuk Seri Najib Tun Razak kembali berkuasa negara akan dikuasai dan ditadbir oleh seorang kleptokrat daripada kluster mahkamah untuk disamun dan dirompak.”

“Tanpa amaran Tun M pun rakyat sedia maklum akan hal tersebut. Sebagai seorang yang amat berpengalaman dalam dunia politik Tun M sepatutnya tahu bahawa tindakan beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri akan mendorong kepada jatuhnya kerajaan ke tangan mereka yang rakus.”
Zainudddin Mohamed turut mempersoalkan tentang hala tuju Parti Pejuang. Kewujudan Pejuang seolah-olah sekadar untuk mengekalkan pengaruh dan kewujudan Tun M dalam arena politik tetapi tidak membantu ke arah pengukuhan blok pembangkang dalam menghadapi kerajaan hari ini. Jika benar Tun M ingin menumbangkan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional keputusan politik Pejuang tidak sepatutnya merencatkan pergerakan payung besar Pakatan Harapan dalam menghadapi pilihanraya, tegas beliau.
“Selepas peristiwa tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan dan disusuli acara lompat melompat secara besar-besaran wakil rakyat telah menyebabkan rakyat muak dengan politik hari ini. Undi melayu bakal terus berpecah dengan kemunculan parti-parti baharu yang tidak jelas hala tujunya.”
Mengulas lanjut Zainuddin Mohamed berkata rakyat kini sedang dihimpit kesusahan, ditambah pula dengan isu kes Covid-19 yang dilihat kembali meningkat. Negara perlukan pentadbiran yang lebih baik dan untuk mencapai hasrat itu parti yang dalamnya mempunyai ramai kluster mahkamah tidak sepatutnya diangkat oleh rakyat. Parti yang tidak jelas halatujunya juga perlu ditolak. Gabungan besar adalah satu-satunya harapan rakyat untuk menyekat kemaraan parti yang bakal menderitakan rakyat.

“Undi 18 menjadi perhatian kesemua parti yang bertanding. Undi anak muda dilihat undi penentu dalam pilihanraya negeri Johor dan pilihanraya negeri atau umum yang akan datang. Anak muda harus bijak memilih. Keputusan anda hari ini akan menentukan masa depan negara. Jangan terpedaya dengan api perkauman yang sering dimainkan. Saya berharap Tun M dan barisan kepimpinan Parti Pejuang dapat mencari pendekatan terbaik untuk membantu mengekang kemaraan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional dan pada masa yang sama tidak menjadi penyebab kepada pepercahan sokongan terhadap gabungan Pakatan Harapan.”
Sebuah perjuangan demi Malaysia yang lebih baik!
ZAINUDDIN MOHAMED
Ketua Angkatan Muda Keadilan
Cabang Kepala Batas
1 thought on “KE MANA HALA TUJU TUN MAHATHIR DAN PEJUANG”
Terbaik AMK kepala batas, l#lawantetaplawan#