
BERTAM – Selepas beberapa siri pemutihan dan penempatan semula penjaja dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar Kepala Batas kini Ahli Majlis Zainuddin Mohamed memberi fokus kepada tapak penjaja Taman Permatang Sintok. Difahamkan usaha pemutihan dan penempatan semula penjaja di kawasan tersebut berada di peringkat akhir dan dijangka selesai sebelum Ramadan.
Zainuddin Mohamed berkata terdapat lebih kurang 10 ke 12 penjaja yang menjalankan perniagaan di sekitar lot kedai di kawasan tersebut. Sebahagiannya mengganggu lalu lintas sehingga mengundang aduan awam.

“Pada pertengahan tahun lepas saya telah membawa cadangan pemutihan dan penempatan semula penjaja. Cadangan yang saya kemukakan adalah berdekatan Jimat Jimat kerana jalan di kawasan tersebut lebih lebar dan selesa. Walaubagaimanapun semua penjaja yang bakal dipindahkan perlu mematuhi syarat-syarat pelesenan”, tegas beliau.

“Peniaga tidak dibenarkan meninggalkan barangan niaga. Tapak perlu dibersih dan dikosongkan sebaik urusniaga selesai. Tidak mudah untuk peniaga biasakan diri dengan kaedah membawa pulang barang niaga namun itu adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Semoga semua peniaga yang bakal dipindahkan dapat memberikan kerjasama,” tegasnya.
Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai itu turut memaklumkan bahawa Bazar Ramadan bagi tahun ini juga akan dianjurkan di tapak baharu yang telah disediakan bagi mengelakkan kesesakkan lalu lintas yang berlaku pada tahun-tahun lepas berulang.