PELANCARAN JENTERA PRU15 CABANG KEPALA BATAS

11 Sep 2022 | Kepala Batas: Telah berlangsung Majlis Pelancaran Jentera PRU 15 di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas, Pulau Pinang yang dihadiri oleh Penasihat Parti KEADILAN, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Turut sama hadir ke majlis tersebut ialah YB Senator Fadhlina Siddiq dan beberapa orang Majlis Pimpinan Negeri.

Walaupun di dalam kesibukan seharian, Ibu Reformasi KEADILAN sempat meluangkan masa bersama anggota parti untuk menjayakan program pada pagi itu.

Majlis yang bermula pada jam 10 pagi, turut dihadiri oleh Jawatankuasa Cabang dan Ranting KEADILAN Kepala Batas dan juga anggota parti.

Menurut ucapan aluan daripada Ketua Cabang KEADILAN Kepala Batas merangkap Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato’ Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin Bin Abdul Rahman berkata, jentera pilihanraya cabang telah pun diatur dengan kemas dan kini bersiap siaga untuk menempuh pilihanraya yang mungkin akan diadakan pada bila-bila masa sahaja. 

Sebagai simbolik kepada pelancaran jentera pilihanraya, bendera parti diserahkan kepada 21 Ketua Ranting KEADILAN. 

Kerusi KEADILAN di DUN Pinang Tunggal akan dikekalkan dan KEADILAN juga berkemungkinan bertanding di kerusi DUN Bertam yang sebelum ini disandang oleh Parti Bersatu. DUN Bertam kini menjadi DUN angkat kepada ADUN Pinang Tunggal, Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin setelah Parti Bersatu keluar meninggalkan Pakatan Harapan pada ‘Langkah Sheraton’ yang lalu.

Selesai majlis penyerahan bendera, Datuk Seri Dr. Wan Azizah kemudiannya bergegas ke Permatang Pauh untuk menghadiri program beliau yang selanjutnya. 

Abdul Rahim Abdul Rani
Ketua Penerangan
Cabang Kepala Batas

Leave a Comment

Your email address will not be published.

Scroll to Top