Hujan Lebat, Limpahan air menjejaskan Penduduk Sekitar

PINANG TUNGGAL – Isu banjir di Kampung Tok Bedu yang disyaki berpunca daripada limpahan air daripada Tapak Binaan Setia Fontainers telah mendapat perhatian Ahli Majlis MBSP, Zainuddin Bin Mohamed.

Siasatan di tapak untuk mengenalpasti punca limpahan air ke kawasan sekitar telah dijalankan pada 30 November 2020. Lawatan ke tapak projek melibatkan Jabatan Kejuruteraan MBSP, Pejabat Daerah & Tanah SPU, Pusat Khidmat ADUN Pinang Tunggal dan MPKK Tok Bedu.

Zainuddin bin Mohamed berkata “Earth Drain” di tapak binaan didapati tidak diselenggara dengan baik selain terdapat masalah lain yang turut menjadi sebab kepada limpahan air ke kampung, ladang getah dan kebun sayur berdekatan.

“Saya telah meminta satu tindakan tegas diambil terhadap pemaju dan meminta arahan kerja-kerja pembersihan “Earth Drain” dikeluarkan kepada pemaju dengan kadar segera. Semua isu teknikal yang telah dikenalpasti perlu diselesaikan oleh pemaju bagi mengelakkan kejadian banjir berulang”.

“Saya meminta agar penduduk yang terjejas bersabar sementara menunggu tindakan penambahbaikan diambil oleh pihak pemaju”.

Zainuddin Bin Mohamed berkata pemaju tidak sepatutnya mengambil mudah kerja-kerja penyelenggaraan “Earth Drain” dan perlu memastikan pembangunan sekitar tidak menjejaskan masyarakat sekitar. Jabatan Kejuruteraan MBSP juga perlu menyiasat jika ada punca lain yang menyebabkan banjir berlaku serta berbincang dengan pihak pemaju untuk menyelesaikan semua masalah yang menyebabkan limpahan air mengalir ke kampung sekitar”, tegas beliau.

Scroll to Top
Scroll to Top