Dewan Rakyat kecoh, Jeffrey Kitingan tidak kuarantin 14 hari tapi hadir sidang Parlimen

Ahli Parlimen Keningau, Jeffrey Kitingan didakwa hadir ke sidang Dewan Rakyat hari ini tanpa melengkapkan tempoh kuarantin 14 hari selepas tiba dari Sabah.

Perkara itu didedahkan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil selepas pejabat kesihatan daerah Lembah Pantai membenarkan Jeffrey menghadiri sidang Parlimen.

“Saya difahamkan ada di kalangan kita baru balik dari Sabah tapi tak pasti adakah Ahli Parlimen Keningau sepatutnya dalam kuarantin atau tidak, mohon petua dari speaker berkenaan perkara ini,” katanya di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman juga mempersoalkan mengapa Jeffrey boleh dibenarkan menghadiri sidang Parlimen.

“Kami ahli parlimen dari Sabah sentiasa akur kepada setiap perintah yang diarahkan oleh speaker berkenaan dengan peraturan mesyuarat, apabila kita tiba di Semenanjung, kita kuarantin 14 hari.

“Saya sudah ada di KL dua bulan, tak jumpa anak dan bini sebab kita tak balik, kita tak mahu nanti balik kena kuarantin lagi 14 hari.

“Tetapi YB keningau menghadiri sidang DUN Sabah pada hari Khamis 12 Nov, bermakna kalau dikira ikut hari, dia tidak sepatutnya berada di dewan ini agar ahli parlimen lain tidak terjangkiti Covid-19, sebab Covid-19 tidak memilih jawatan atau surat arahan pengecualian, jadi mohon arahan dari speaker,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong pula meminta speaker supaya Jeffrey keluar dewan terlebih dahulu demi keselamatan ahli parlimen dari dijangkiti Covid-19.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching turut meminta Jeffrey berdiri dan menjelaskan sama ada beliau telah melalui 14 hari kuarantin.

Timbalan speaker, Azalina Othman Said bagaimanapun enggan berbuat demikian kerana mahu mendapatkan kepastian dari Setiausaha Dewan Rakyat.

Beliau kemudian mengesahkan bahawa Jeffrey dibenarkan hadir ke Parlimen atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“YB Keningau telah dibenarkan hadir oleh doktor klinik parlimen beliau telah mendapatkan ‘release order’ selepas tamat kuarantin daripada KKM,” kata Azalina.

Azis bagaimanapun mempersoalkan mengapa Jeffrey boleh dibenarkan pulang ke Sabah dan kembali ke Kuala Lumpur.

“Saya dari Sabah yang telah melalui proses 14 hari kuarantin, makcik saya meninggal di Semporna tapi saya tak dibenarkan balik, saya telah melalui semua ujian dan disahkan klinik bahawa saya bebas dari Covid-19 tapi itu juga bukan alasan untuk dibenarkan pulang.

“Speaker juga ada menyatakan ahli parlimen Sabah tidak dibenarkan pulang dan diminta untuk berkorban, kami telah berkorban, kalau begitu, lebih baik kami balik minggu lepas lawat makcik saya yang meninggal.

“Tapi disebabkan kita akur kepada peraturan parlimen, kita sanggup berkorban, tapi apa yang kita lihat YB Keningau dibenarkan masuk ke dewan, ini soal keselamatan selaku ahli-ahli parlimen,” katanya.

Azis juga mendakwa Jeffrey gagal melengkapkan tempoh kuarantin 14 hari.

“YB Keningau hadiri sidang DUN Sabah pada Khamis 12 Nov, bermakna dia ada di KL kurang 14 hari, speaker meminta ahli parlimen sabah berkorban, agar berkorban tak balik kawasan masing-masing kerana ada sidang Parlimen.

“Tapi YB Keningau tanpa melalui proses kuarantin dan dapat persetujuan dari klinik, mana mungkin klinik boleh ‘overruled’ kuasa arahan speaker sendiri, arahan dari kerajaan.

“Ahli keluarga saya meninggal minggu lepas, kami tidak pulang kerana patuh arahan speaker,” katanya.

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun tampil menjelaskan bahawa Jeffrey mendapat ‘release order’ pada 23 Nov selepas menjalani kuarantin dan didapati negatif.

“Tempoh kuarantin adalah dari 12 Nov sehingga 23 Nov,” katanya.

Bagaimanapun, Azis berkata Jeffrey sebenarnya masih berada di Kota Kinabalu sehingga 13 Nov.

“Kita dapat maklumat beliau masih ada di Kota Kinabalu, kalaupun 12 Nov itu baru 12 hari.

“Saya buat ujian klinik kerajaan dan swasta, disahkan negatif tetapi apabila sampai di KLIA, kita dimaklumkan oleh pekerja tidak ada pengecualian, jadi kenapa double standard.

“Kita memakai kad sebab speaker mengehadkan 80 orang, sebab meminimakan tetapi YB Keningau datang dari Sabah kurang 14 hari, itu lagi risiko kepada kita,” katanya.

Speaker akhirnya membuat keputusan untuk menyiasat lebih lanjut dan meminta Jeffrey untuk tidak menghadiri sidang Parlimen.

“Saya akan hubungi pihak pejabat kesihatan daerah Lembah Pantai untuk mendapat maklumat lebih lanjut bagaimana perkara ini boleh terjadi.

“Jadi bagi saya sedikit masa untuk hubungi mereka untuk dapat maklumat lebih lanjut dan saya telah meminta YB Keningau untuk tidak menghadiri sidang,” katanya.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin juga meminta speaker supaya mendapatkan sebab-sebab dari KKM dan pusat kesihatan membenarkan Jeffrey hadir sidang Parlimen walaupun tempoh kuarantin tidak sampai 14 hari.

Sumber: Suara Keadilan

Scroll to Top