BERPENGALAMAN MENGURUSKAN ORGANISASI DAN CEMERLANG DALAM MENGURUSKAN ORGANISASI ADALAH DUA PERKARA YANG BERBEZA

Dua hari yang lepas saya menerima pautan ucapan sdr Rafizi Ramli berkenaan ulasan beliau terhadap dua calon Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Saya mendengar ulasan dan pandangan beliau beberapa kali sebelum saya membuat keputusan untuk mengeluarkan kenyataan ini.

Saya bukanlah insan yang hebat seperti sdr Rafizi Ramli mahupun pimpinan lain yang banyak jasa dan sumbangannya ketika Pakatan Harapan berhadapan dengan UMNO / Barisan Nasional pada PRU-14. Namun saya merasakan tidak menjadi masalah untuk saya sedikit berbeza dengan pandangan sdr Rafizi. Berbeza itu adalah satu perkara yang perlu dirai dalam organisasi yang mengamalkan konsep demokrasi.

Saya sudah hilang kelayakan untuk terus berada di arena Angkatan Muda Keadilan disebabkan faktor umur namun saya ingin melihat sayap pemuda ini dipimpin oleh seseorang yang benar-benar berkualiti dan meletakkan agenda memperkasakan parti sebagai agenda utama.

Saya amat mengenali sdr Fahmi Zainol namun baru mengenali sdr Adam Adli dengan lebih dekat. Pada mulanya saya difahamkan terdapat tiga calon bakal menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Dua nama yang disebut-sebut ketika itu adalah sdr Fahmi Zainol dan sdr Adam Adli. Kemudiannya muncul pula nama individu ketiga untuk mencabar posisi yang sama. Rakan-rakan bertanya kepada saya siapakah calon pilihan saya? Calon pertama yang saya tolak adalah sdr Fahmi Zainol. Penolakan ini disokong oleh banyak faktor. Saya kemudiannya menilai Adam Adli pula. Saya memberikan komen yang sama seperti yang disebut oleh sdr Rafizi Ramli. Sdr Adam Adli belum terbukti dalam memimpin organisasi parti. Beliau dilihat berani dan mempunyai sejarah perjuangan yang tersendiri sebagai seorang aktivis namun kemampuan menguruskan organisasi belum teruji. Atas faktor ini saya ingin memberi ruang kepada diri saya untuk menilai calon yang ketiga sebelum saya menentukan siapa yang terbaik berdasarkan penilaian saya.

Pencalonan dimuktamadkan dengan hanya dua calon bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia dimana calon ketiga yang disebutkan itu tidak berada di dalam senarai. Secara automatik pilihan terbaik saya adalah sdr Adam Adli. Mungkin ada yang bertanya bukankah saya meragui kemampuan Adam Adli memimpin organisasi memandangkan beliau belum teruji? Jawapan saya mudah. Belum teruji itu bukan satu perkara besar jika dibandingkan dengan seseorang yang mempunyai pengalaman tetapi terbukti gagal.

Saya pernah berbual bersama sdr Adam Adli ketika saya terserempak dengan beliau di Kelantan. Saya melihat beliau seorang yang matang dan bijak. Saya turut bertanyakan pandangan anggota-anggota lama di Cabang Kepala Batas tentang Adam Adli. Hampir kesemua mereka mengatakan bahawa beliau seorang yang baik dan bijak. Mendengar pandangan anggota Cabang Kepala Batas berkenaan sdr Adam menambah lagi keyakinan saya bahawa sdr Adam Adli adalah calon yang terbaik.

Saya tidak bercadang untuk menyatakan dengan terperinci mengapa saya kategorikan sdr Fahmi Zainol sebagai seorang pemimpin yang gagal kerana tujuan kenyataan ini dibuat adalah untuk memaklumkan secara umum bahawa prestasi dan kepimpinan beliau cukup mengecewakan pada penilaian saya. Saya yakin dan percaya ramai pimpinan Angkatan Muda Keadilan Cabang serta anggota di Pulau Pinang bersetuju dengan penilaian saya ini.

Saya tidak mahu menyentuh pencapaian beliau di universiti atau penglibatan beliau sebagai seorang aktivis. Jika sahih beliau seorang pemimpin yang berjaya ketika di universiti saya ucapkan tahniah dan berharap sdr Fahmi Zainol mampu memperbaiki diri untuk menjadi pemimpin yang baik dalam sayap pemuda juga. Kritikan dan penilaian saya adalah berdasarkan apa yang saya lihat dan lalui beberapa tahun bersama sdr Fahmi Zainol di dalam arena Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang.

Menyatakan Fahmi Zainol sebagai seorang yang gagal tidak bererti saya bermusuh dengan beliau. Saya dan sdr Fahmi Zainol merupakan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai. Tahun ini merupakan tahun ketiga kami berkhidmat bersama. Walaupun saya amat kecewa dengan kepimpinan beliau dalam struktur sayap pemuda namun saya masih dapat bekerjasama dengan beliau dalam urusan Pihak Berkuasa Tempatan. Saya percaya sdr Fahmi Zainol juga boleh bersetuju dengan kenyataan saya ini.

Jika sdr Rafizi Ramli ingin mengetahui kualiti kepimpinan Fahmi Zainol di Pulau Pinang adalah lebih baik beliau turun bertanyakan anggota di Pulau Pinang secara menyeluruh. Kebanyakan kami di Pulau Pinang lebih rela menyerahkan tanggungjawab memimpin sayap pemuda kepada Adam Adli. Tiada pengalaman menguruskan organisasi bukan sesuatu yang kritikal buat Adam Adli kerana beliau mempunyai kelebihan lain yang boleh diambil kira untuk menampung kekurangan tersebut. Saya yakin anggota juga telah melihat ramai anggota-anggota baharu yang diberikan peluang memimpin mampu menguruskan organisasi jauh lebih baik daripada mereka yang berpengalaman. Kita tidak boleh menafikan fakta ini.

Sebagai seorang yang lebih berusia daripada kedua-dua calon saya amat mengharapkan agar kedua-dua mereka menjadi tunjang kepada sayap pemuda. Fahmi Zainol mempunyai bakat dan kemampuan untuk lebih berjaya namun beliau perlu memperbaiki diri terlebih dahulu. Beliau perlu mengembalikan keyakinan kepada anggota di Pulau Pinang jika beliau benar-benar ingin mendaki lebih tinggi.

Akhir sekali saya ingin memohon maaf sekiranya kenyataan saya ini menyinggung perasaan mana-mana pihak. Saya tidak berniat untuk menjatuhkan imej sesiapa tetapi saya memilih untuk menyatakan pandangan melalui kenyataan ini kerana saya amat menyayangi parti dan ingin sekali melihat sayap pemuda dipimpin seorang yang mempunyai kredibiliti yang tinggi. Saya berharap anggota tidak melihat kenyataan ini sebagai kenyataan untuk menjatuhkan sesiapa tetapi melihat kenyataan ini sebagai satu luahan hati dan penilaian untuk melihat sayap pemuda terus gagah dan kukuh. Selamat berkempen dan selamat berjuang buat kedua-dua calon.

Anggota memilih!

ZAINUDDIN MOHAMED
Ketua Angkatan Muda Keadilan
Cabang Kepala Batas

#PemilihanKEADILAN2022
#AnggotaMemilih

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top