KEPALA BATAS – Pada 4 Mac 2020 Penjaja Tepi Jalan di Pasar Kayangan telah mengalami kerugian selepas kanopi mereka rosak teruk akibat angin yang kuat. Selain kerosakan kanopi, penjaja juga tidak sempat menyelamatkan barangan jualan mereka yang turut terbang dan jatuh ditiup angin sehingga menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan perniagaan. KK difahamkan Zainuddin Mohamed, Ahli Majlis MBSP dengan segera turun ke lokasi bagi membantu penjaja yang terjejas. Kanopi yang rosak telah dialihkan dengan bantuan Jabatan Pengurusan Krisis MBSP.

Sehari selepas kejadian YB Dato Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap ADUN Pinang Tunggal juga ADUN Angkat Bertam telah menyalurkan Sumbangan Wang Ihsan kepada semua penjaja Pasar Kayangan yang terjejas. Sumbangan diserahkan terus kepada penjaja oleh Muhasdey Muhamad, Pegawai kepada YB Dato Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman. Muhasdey Muhamad berkata minggu hadapan semua penjaja Pasar Kayangan akan menerima sumbagan kanopi bagi tujuan penyeragaman jenis dan warna khemah. Hadir sama, Zainuddin Bin Mohamed (Ahli Majlis MBSP).

“YB Dato Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman telah bersetuju untuk menyumbangkan kanopi kepada semua penjaja Pasar Kayangan. Cadangan sumbangan kanopi ini telah dibawa oleh Zainuddin Mohamed, Ahli Majlis MBSP pada hujung tahun lepas bagi tujuan penyeragaman memandangkan lokasi Pasar Kayangan terletak berhadapan jalan utama. Memandangkan ramai penjaja telah mengalami kerosakan khemah, Pusat Khidmat ADUN Pinang Tunggal akan mempercepatkan proses penggantian khemah ini”.