Banjir atau Pilihan Raya?

10 Oktober 2022 – Jam 3 petang tadi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri telah pun membuat pengumuman pembubaran Parlimen Malaysia.

Di kala musim tengkujuh yang semakin hampir , betapa sanggupnya Kerajaan pimpinan Ismail Sabri membubar parlimen dan membuat pilihan raya. Pembubaran yang dilakukan mungkin terdiri daripada beberapa faktor diantaranya perbicaraan kes mahkamah Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO sendiri yang akan berlangsung sekitar hujung bulan Oktober nanti. 

Maka dengan itu, jika berlakunya pembubaran awal, perbicaraan kes tersebut dapat ditunda ke tarikh lain sehingga BN / UMNO sendiri berkuasa dan beliau berpeluang untuk melepaskan ‘tengkuk’ bersama konco-konconya yang lain.

Hati rakyat mana yang tidak kecewa jika sedang dilanda musibah dan terpaksa pula menghadapi pilihan raya. Sudah tentunya umpama jatuh ditimpa tangga. 

Dari segi perkiraan akal manusia, rakyat sudah tentunya akan lebih mengutamakan keselamatan dan keluarga daripada pilihan raya. 

Tapi itu semua tidak di ambil peduli oleh pihak UMNO / BN. Mereka lebih rakus untuk mendapatkan tampuk kuasa daripada memikirkan hal musibah yang menimpa rakyat. Walhal merekalah yang sering melaung-laungkan rakyat didahulukan, rakyat diutamakan, tapi apa yang terjadi adalah sebaliknya.

Seperti yang kita ketahui sebelum ini, ramai di antara pimpinan UMNO/BN yang terpalit dengan skandal-skandal ratusan juta malah berbillion ringgit yang melibatkan dana negara (wang rakyat). Ini yang UMNO/BN cari sebenarnya, menjarah harta negara untuk kepentingan peribadi, mengkayakan anak, isteri dan kroni sendiri tetapi membiarkan rakyat terus menderita, cuma sekali sekala apabila rakyat berbunyi, maka diberilah duit poket (Bantuan Sara Hidup)  untuk menutup mulut masing-masing.

Gula-gula bajet juga tidak kurang manisnya. Bajet paling besar dalam sejarah Malaysia, RM372.3 billion Ringgit, sedia untuk disakau sekiranya mereka memegang kembali tampuk pemerintahan pada PRU15 kali ini. Bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya bajet sebegitu besar yang akan dibelanjakan sedangkan posisi kewangan Malaysia masih berada pada takat negatif (berhutang). Disamping itu juga, saban tahun negara terpaksa membayar berbillion ringgit untuk melunaskan hutang 1MDB sehingga terpaksa berhutang untuk membayar hutang.

Apakah ini yang kita mahukan? Tepuk dada tentukan sendiri di kertas undi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top