BERTAM – Angkatan Muda Keadilan Kepala Batas terus konsisten dengan program ziarah di sekitar Parlimen Kepala Batas. Program ziarah yang digerakkan bersama MPKK Permatang Sintok dan Ranting Parti KEADILAN kali ini memanfaatkan 4 buah keluarga.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Kepala Batas, Zainuddin Mohamed berkata program ziarah ini tidak berakhir dengan sekadar serahan bantuan dapur kepada penerima. MPKK melalui Pusat Khidmat ADUN Angkat Bertam akan membantu mereka untuk mendapatkan bantuan-bantuan lain mengikut keperluan dan kelayakan masing-masing.
“Maklumat penerima dan keperluan mereka direkodkan agar pihak kami dapat membuat semakan untuk memastikan bantuan susulan dapat diusahakan. Saya yakin banyak pihak giat melaksanakan program ziarah tetapi ziarah dengan sekadar menyalurkan barangan keperluan dapur semata-mata tanpa mengenal pasti masalah dan keperluan lain pasti tidak dapat menyelesaikan masalah mereka secara menyeluruh. Saya telah meminta agar MPKK kawasan berhubung dengan Pusat Khidmat ADUN Angkat Bertam serta Penghulu Pejabat Daerah sebagai langkah tindakan susulan terhadap keperluan yang telah dikenalpasti ketika program ziarah”.

Zainuddin Mohamed berkata selain program ziarah melalui inisiatif AMK, program yang sama juga digerakkan oleh Wanita KEADILAN Kepala Batas, Pusat Khidmat ADUN Angkat Bertam dan Pusat Khidmat ADUN Pinang Tunggal. Kedua-dua pusat khidmat ini dibawah pengurusan YB Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Hadir sama, Rusmawati Yusoff (Ketua Wanita KEADILAN Cabang Kepala Batas), Rufidah Hashim (Pengerusi JPWK KADUN Bertam), Jawatankuasa MPKK Permatang Sintok dan Ranting serta ahli-ahli KEADILAN.