KEPALA BATAS – Angkatan Muda Keadilan Cabang Kepala Batas yang diketuai Zainuddin Mohamed membuat laporan polis terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Laporan polis ini adalah berhubung kenyataan beliau berkenaan tarikh sidang parlimen. Kenyataan beliau yang menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak menyebut masa tertentu untuk sidang Parlimen dibuka segera menimbulkan kemarahan banyak pihak.

Zainuddin Mohamed berkata Kenyataan daripada Istana Negara yang dikeluarkan pada 16 Jun 2021 jelas menyatakan “Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin. Ini membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat”. “Kenyataan ini pada saya mempunyai dua perkara penting iaitu secepat mungkin dan hak Ahli-ahli Dewan Rakyat. Tidak dapat dinafikan campur tangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah untuk memastikan satu pengurusan yang lebih baik dilaksanakan dengan kadar segera selepas melihat angka jangkitan harian yang besar meskipun Malaysia kini dalam pemerintahan darurat. Oleh itu kenyataan “secepat mungkin” di sini perlu diambil serius dan ruang untuk Ahli-ahli Dewan Rakyat berbahas perlu disegerakan sesegera mungkin”.
“Rakyat sedia maklum bahawa Yang di-Pertuan Agong pernah menyatakan bahawa Parlimen boleh bersidang dalam tempoh Darurat namun kita melihat tiada usaha yang jelas dan serius diambil oleh Kerajaan Perikatan Nasional untuk mempercepatkan Sidang Parlimen. Kenyataan mereka berkenaan Sidang Parlimen dilihat sekadar membeli masa untuk terus melengahkan Sidang Parlimen. Tidak cukup dengan kenyataan Sidang Parlimen boleh bersidang dalam tempoh Darurat kenyataan terkini menyebut pula secepat mungkin. Isyarat jelas daripada Istana demi menyelamatkan Malaysia dilihat diambil remeh oleh mereka yang sedang memerintah negara tercinta ini. Oleh itu saya bersama Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan Cabang Kepala Batas mengambil keputusan untuk membuat laporan polis agar Takiyuddin disiasat dan dikenakan tindakan sewajarnya”.

Zainuddin Mohamed meminta agar rakyat disemua peringkat untuk terus mendesak Kerajaan Perikatan Nasional mempercepatkan Sidang Parlimen dan jangan cuba melengah-lengahkan masa. Rakyat sedang menderita, ramai peniaga yang sedang nazak dan bakal gulung tikar oleh itu negara tidak boleh berhadapan dengan satu lagi kegagalan dalam menguruskan pendamik ini tegas beliau. Turut hadir ialah Nasrul Hisham Hisyam Bokhari, Ketua Pemuda AMANAH Kepala Batas.