Ahli Majlis MBSP Turun Padang Mendengar Keluhan Penjaja Tepi Jalan

Lahar Endin, Penaga – Pada 24 Januari 2021 kegiatan perniagaan di tepi jalan berdekatan Pasar Nelayan telah diarahkan tutup oleh pihak Polis. Majlis Bandaraya Seberang Perai turut bersama dalam operasi tersebut. KK dimaklumkan bahawa arahan penutupan adalah kerana kegagalan peniaga mematuhi SOP. Pihak Polis menyarankan agar peniaga di tepi jalan tersebut melantik penganjur untuk menguruskan peniaga-peniaga di kawasan tersebut tetapi mereka hendaklah mendapatkan kebenaran MBSP terlebih dahulu.

Ahli Majlis MBSP, Zainuddin Mohamed turun ke lokasi untuk berbincang dengan wakil penjaja bagi mendapatkan jalan penyelesaian jangka panjang. Menurut Zainuddin Mohamed, pada hari yang sama arahan penutupan dikeluarkan oleh pihak Polis, wakil penjaja dan masyarakat sekitar yang bersimpati dengan nasib penjaja telahpun menghubungi beliau.

“Saya telah meminta wakil peniaga menyediakan senarai nama penjaja di tepi jalan tersebut. Selain itu, saya juga telah menghubungi Jabatan Pelesenan MBSP untuk membincangkan kaedah penyelesaian jangka panjang agar penjaja tepi jalan tersebut dapat dipindahkan ke lokasi yang sesuai dan seterusnya diberikan lesen perniagaan”.

“Saya bercadang untuk memindahkan penjaja-penjaja yang terjejas ke Pasar Awam Penaga. Namun saya masih menunggu senarai kekosongan tapak di Pasar Awam Penaga sebelum saya meminta Jabatan Perlesenan berjumpa dan berunding dengan mereka yang terjejas. Saya tidak pasti samaada kesemua mereka bersetuju untuk dipindahkan atau tidak tetapi ada di antara mereka yang telah menyatakan persetujuan untuk berpindah ke Pasar Awam.”

“Saya telah berbincang dengan Jabatan Perlesenan MBSP dan bertanya kepada jabatan sekiranya ada ruang untuk penjaja-penjaja di kawasan tersebut kekal di lokasi yang sama dan kegitaan perniagaan mereka diuruskan oleh penganjur? Namun dimaklumkan terdapat banyak aduan oleh masyarakat sekitar terhadap kegiatan perniagaan di kawasan tersebut. Di antara aduan yang diterima adalah berkenaan masalah lalu lintas. Saya akan cuba yang terbaik untuk menyelesaikan masalah mereka tetapi penjaja-penjaja tepi jalan juga perlu bertolak ansur dan memberikan kerjasama agar mereka dapat dipindahkan dan seterusnya diberikan lesen penjaja.”

“Kita sedia maklum bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengumumkan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.0. Bantuan ini hanya disalurkan kepada penjaja yang mempunyai lesen MBSP dan MBPP. Adalah satu kerugian kepada penjaja tepi jalan yang tidak berlesen kerana mereka tidak layak menerima bantuan tersebut. Sebagai Ahli Majlis MBSP saya akan lakukan yang terbaik untuk membantu namun apa jua keputusan ia tidak boleh melanggar syarat-syarat perniagaan yang telah ditetapkan oleh MBSP.”

Zainuddin Mohamed berkata terdapat terlalu ramai penjaja dan peniaga yang tidak mempunyai lesen MBSP di sekitar Kepala Batas. Beliau menyeru agar memenuhi syarat-syarat perlesenan dan memohon lesen perniagaan MBSP bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan dan yang paling penting bagi melayakkan menerima bantuan kerajaan Negeri Pulau Pinang atau mana-mana bantuan lain sekiranya diumumkan.

Scroll to Top