AHLI MAJLIS MBSP TURUN PADANG MELIHAT KERJA PEMBAIKAN JALAN

14 Februari 2023 | Selasa

BERTAM – Kerja-kerja mengorek Jalan Dagangan Dua sedang dijalankan. Ahli Majlis MBSP, Zainuddin Mohamed turun melihat sendiri kerja mengorek tersebut. Beliau berkata kerja mengorek jalan ini adalah tindakan susulan terhadap lawatan tapak diantara beliau bersama Jabatan Kejuruteraan MBSP dan PBA pada Disember yang lalu.

Kerja mengorek yang dilaksanakan oleh kontraktor lantikan MBSP itu adalah usaha untuk mengenalpasti punca jalan tersebut kerap berlubang dan rosak selepas beberapa kali dibaiki.

“Kontraktor telah mengorek lebih kurang 1 meter dalam. Kelihatan air bertakung namun dari mana datangnya air tersebut tidak dapat dikenalpasti buat masa sekarang. Saya telah memberikan beberapa cadangan penyelesaian kepada jabatan untuk pertimbangan. Saya turut meminta jabatan membuat penelitian terhadap semua dapatan di tapak agar satu penyelesaian jangka panjang dapat dibuat segera”, tegas beliau.

Difahamkan jalan tersebut mula ditutup pada 14 Februari dan dijangka kekal ditutup beberapa hari lagi bagi membolehkan kerja-kerja membaiki jalan disiapkan. Zainuddin Mohamed berkata masalah jalan berlubang di kawasan tersebut telah berlarutan terlalu lama atas sebab itu beliau telah arahkan lawatan tapak dibuat pada Disember lalu.

Beliau menegaskan bahawa kerja pembaikan kali ini harus mampu menyelesaikan masalah. “Isu jalan berlubang tidak sepatutnya berulang kerana kos pembaikan melibatkan dana awam“. Oleh itu satu kajian yang teliti perlu diusahakan bagi memastikan masalah yang telah lama berbangkit ini diselesaikan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top