
24 Januari 2023 | Selasa
BERTAM – Cuti hari terakhir sempena Perayaan Tahun Baru Cina diisi Ahli Majlis MBSP, MPKK dan penduduk Kampung Kovil dengan aktiviti gotong-royong membersihkan kampung. Aktiviti ini dianjurankan oleh MPKK Kampung Datuk.
Zainuddin Mohamed, Ahli Majlis MBSP berkata bahawa ketika kempen PRU-15 yang lalu beliau mendengar rungutan penduduk kampung berkenaan air longkang yang melimpah sehingga memasuki rumah penduduk ketika hujan lebat. Sebagai respon kepada rungutan tersebut beliau telah memaklumkan kepada pengadu bahawa satu perbincangan akan diadakan bersama MPKK agar masalah berbangkit dapat diselesaikan.

Menurutnya, sebagai tindakan susulan MPKK telah memutuskan untuk menganjurkan gotong-royong membersihkan kampung. Ahli Majlis MBSP berbesar hati meluluskan sedikit peruntukan kewangan untuk menampung perbelanjaan aktiviti.
Ahli Majlis MBSP yang turut mengambil bahagian membersihkan kampung berkata selain penglibatan orang kampung, sayap pemuda dan wanita Parti Keadilan Rakyat Cabang Kepala Batas turut hadir membantu.

“Saya difahamkan lebih daripada 5 tahun tiada sebarang aktiviti gotong-royong dianjurkan di kampung. Saya mendapatkan khidmat lori tangki air daripada Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBSP untuk membersihkan longkang. Keadaan longkang sangat teruk. Pasir dan tanah yang banyak menyebabkan longkang menjadi cetek. Lebih teruk apabila kerja-kerja pengubahsuaian rumah yang dilakukan penduduk menyebabkan parit tersumbat sehingga menyekat laluan air”.
“Penduduk perlu mengambil tanggungjawab untuk membersihkan longkang dihadapan rumah masing-masing dan memastikan sebarang kerja pengubahsuaian rumah tidak menghalang laluan air. Sikap tidak peduli hanya merugikan diri dan paling dikesali sikap sedemikian akan turut menyusahkan jiran tetangga,” tegas beliau.
“Terima kasih kepada penduduk dan semua yang hadir membantu. Tidak lupa juga kepada wira Oren daripada Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBSP yang hadir bersama lori tangki bagi memudahkan urusan pembersihan longkang,” ujarnya. Peserta gotong-royong diraikan dengan cabutan bertuah sebagai tanda penghargaan terhadap penglibatan mereka.